Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu
Berbantukan Komputer
Berbantukan Komputer
Pendahuluan
Pelbagai perubahan dan inovasi telah tercipta dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam bidang pendidikan kini. Kemajuan dalam pelbagai bidang kini membawa suatu anjakan besar dalam sistem pendidikan negara kita. Kemajuan yang pesat dalam bidang teknologi pendidikan dan komunikasi telah memungkinkan perubahan dalam bidang pendidikan. Kaedah pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer telah diaplikasikan dengan meluas kini.
Aplikasi pengajaran berbantukan komputer bermaksud proses pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan penerapan teknologi seperti komputer serta menggunakan bahan bantu mengajar berasaskan ICT dan penggunaan perisian yang sedia terbina ataupun yang dibina sendiri oleh guru mengikut kredibiliti masing-masing mengikut sukatan pelajaran bahasa Melayu.
Penggunaan kaedah pengajaran berbantukan komputer dalam sistem pendidikan kini menjadi suatu yang penting dan sangat efektif. Dengan penggunaan pengajaran berbantukan komputer ini dilihat lebih memudahkan dalam melakukan sesuatu kerja. Penggunaan pengajaran berbantukan komputer mulai mendapat perhatian selari dengan projek mega kerajaan iaitu projek sekolah bestari yang direka bentuk semula berdasarkan Aplikasi Perdana Koridor Raya Multimedia.
Projek ini diharapkan stail dan kaedah pengajaran bahasa Melayu akan berubah daripada kaedah konvensional yang kurang berkesan berbanding kaedah pengajaran berbantukan komputer. Pengajaran bahasa yang membosankankan sebelum ini dapat diubah dengan penggunaan kaedah berbantukan komputer ini.
Kini, prasarana sekolah dengan segala kemudahan teknologi multimedia dibekalkan oleh kerajaan bagi tujuan meningkatkan penggunaan kaedah pengajaran berbantukan komputer. Usaha ini perlu digembleng secara berterusan dan tekal agar niat murni kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu akan tercapai.
Menurut Hjetland (1995) dalam Norizan Abdul Razak, menyatakan bahawa, penggunaan komputer dapat memudahkan tugas dan meningkatkan prestasi guru di dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Daripada pernyataan itu, penggunaan komputer dalam sistem pendidikan kini menjadi semakin dominan dan efektif. Segala maklumat akan mudah dicapai hanya dihujung jari sahaja. Para guru mudah mendapatkan maklumat mengenai kontents dan cara mengajar bahasa Melayu dengan hanya mendapatkan maklumat berbantukan komputer. Di samping itu, murid juga lebih mudah mengakses maklumat yang diperlukan oleh guru dengan hanya berbantukan komputer tanpa ada batasan masa dan tempat.
Cita-cita murni ini memerlukan komitmen semua pihak termasuk kerajaan, kementerian pelajaran, sekolah, guru-guru, waris termasuk juga para pelajar amnya. Proses untuk mencapai kejayaan ini memerlukan gandingan antara gemblengan keseluruhan institusi yang terlibat dalam alam pendidikan. Di sekolah contohnya, guru-guru perlu yakin tentang kebaikan dan efektifnya penggunakan pengajaran berbantukan komputer. Oleh yang demikian, guru-guru perlulah sentiasa berusaha dalam meningkatkan pengetahuan dan kepakaran terhadap dunia teknologi ini. Kepakaran seseorang guru dalam mengendalikan peralatan komputer di samping perisiannya dapat membantu guru melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan. Keupayaan seseorang guru menggabungkan kaedah pengajaran berbantukan komputer di dalam pengajaran bukanlah dapat dilakukan secara mudah tanpa perlu mendalaminya tetapi memerlukan kesungguhan dan iltizam tinggi yang berterusan untuk menjamin kejayaan proses pengajaran dan pembelajaran.
Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Berbantukan Komputer
Pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer merupakan satu kaedah pengajaran yang disampaikan menggunakan gabungan antara komputer, pakej perisian, sistem talian dalam mengakses kemudahan internet. Penggunaan kaedah ini terutama dalam menyampaikan pengajaran dengan lebih mudah dan afektif memerlukan penggunaan aplikasi perisian komputer, mengakses maklumat melalui internet dan aplikasi persembahan elektronik seperti perisian “Power point”. Aplikasi komputer ini penting untuk tujuan menyampaikan persembahan dengan lebih menarik dan berkesan semasa proses pengajaran dan pembelajaran.
Penggunaan perisian pengajaran dan pembelajaran yang berbantukan komputer berkemampuan mempersembahkan maklumat dengan menarik serta menyimpan dan mengawal maklumat dengan baik.Tambahan kini perisian komputer dapat berinteraksi secara terus kepada pengguna. Kecanggihan penggunaan komputer ini mendatangkan kebaikan dan keburukan jika tidak diaplikasi secara berkesan.
Kaedah pengajaran berbantukan komputer ini hanyalah merupakan suatu bahan bantu kepada guru dan tidak merubah fungsi guru di dalam kelas. Komputer yang digunakan sebagai bahan bantu dalam pengajaran bahasa perlu digunakan secara terancang dan pelbagai aspek hendaklah diteliti dan diambil kira untuk mencapai cita-cita murni yang diharapkan. Pengajaran berbantukan komputer perlu digunakan secara terancang dan kesesuaian perlu diteliti agar dapat meningkatkan penguasaan kemahiran komputer dan kemahiran berbahasa berbantukan komputer.
Persediaan Guru
Persediaan guru permulaan yang mendapat didikan di Institut Pendidikan Guru (IPG) perlu pendedahan mendalam dalam aplikasi komputer dalam pengajaran bahasa Melayu di sekolah kelak. Sehubungan itu, IPG telah merancang suatu subjek khusus iaitu BMM3105 Pengajaran Bahasa Melayu Berbantukan Komputer bagi membantu guru mengetahui cara mengakses maklumat terutama dalam mencari maklumat mengenai bahasa Melayu. Selain itu, pelajar didedahkan dengan cara membangunkan bahan pengajaran berbantukan komputer seperti membina blog pembelajaran, laman web, perisian persembahan PowerPoint, MS Publisher dan lain-lain.
Pengetahuan pengajaran berbantukan komputer didedahkan kepada pelajar jurusan major Bahasa Melayu di semua IPG. Kandungan subjek BBM3105 Pengajaran Bahasa Melayu Berbantukan Komputer akan disenaraikan di bawah:
Kandungan |
Penggunaan Enjin Pencari Bahan Bahasa Melayu
|
Menggunakan Internet, Enjin Pencari Bahan dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu
|
Aplikasi Garis Panduan dan Etika Penggunaan Internet
|
Pemilihan Bahan Internet untuk Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu
|
Membina dan Menggunakan Tapak, Laman Web Pembelajaran dan Pakej Tutorial Pembelajaran dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu
|
Membina dan Mengaplikasikan Struktur Perpautan dalam Penyusunan Bahan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu
|
Mengaplikasikan Model Pemprosesan Maklumat dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu
|
Pengajaran Bahasa Melayu Secara Atas Talian dan Luar Talian
|
Mengedit Bahan Pengajaran Bahasa Melayu Secara Atas Talian Menjadi Brosur, News Letter, dan Kad Pengumuman
Aplikasi ke dalam pengajaran kemahiran bahasa. |
Membina Bahan Video dan Audio Untuk Pengajaran Kemahiran Bahasa Melayu § Menentukan peringkat pengajaran dan kemahiran bahasa § Menentukan prinsip pembinaan bahan video dan audio § Membina bahan video dan audio § Menggunakan perisian audio untuk pengajaran kemahiran mendengar, bertutur dan membaca. |
Pengajaran Bahasa Melayu Secara Sidang Video
|
Menggunakan Alat Pengarangan dalam Pengajaran Bahasa Melayu
|
Mereka Cipta Animasi dalam Persembahan Bahan Pengajaran Bahasa Melayu
|
Bengkel Cakera Padat Pembelajaran dalam Pengajaran Bahasa Melayu
|
Seminar dan Pameran TMK dalam Pengajaran Bahasa Melayu Dekad Kini dan Mendatang
|
Pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu berbantukan komputer ini diharapkan dapat diaplikasikan sepenuhnya oleh guru-guru dalam pengajaran mereka kerana kebanyakan kajian yang dijalankan mengenai penggunakan komputer dalam pengajaran dapat meningkat penguasaan kemahiran, ianya lebih afektif, membantu guru dan murid, membantu guru menjalankan aktiviti di dalam kelas, objektif yang disasarkan akan tercapai, seterusnya meningkatkan minat pelajar dan mampu dijadikan sebagai bahan rujukan yang bermanfaat kepada guru dan pelajar.
Pembelajaran bahasa Melayu berbantukan komputer juga menyediakan pembelajaran yang konsisten dan terjamin. Kajian Zol (2001), mendapati terdapat perbezaan dalam peningkatan skor setelah pelajar menggunakan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran.
Kesimpulan
Usaha berterusan perlu digembleng oleh semua pihak dalam merealisasikan hasrat kerajaan dan kementerian pelajaran dalam usaha peningkatan penguasaan kemahiran berbahasa terutama bahasa Melayu. Kejayaan sesuatu kaedah pengajaran seharusnya bertunjangkan kejituan pengetahuan, komitmen yang berterusan dan mempelbagaikan pendekatan, kaedah dan teknik dalam pengajaran dan pembelajaran.
Usaha mempertingkatkan penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa telah, sedang dan akan diteruskan dengan giat. Ini bertujuan memberi dan meningkatkan pengetahuan dalam kalangan generasi pelajar bagi persediaan masa depan dalam arus globalisasi teknologi maklumat.
Selaras dengan hasrat murni kerajaan untuk menggalakkan penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran, diharapkan para guru mengambil peluang ini untuk meningkatkan kemahiran penggunaan komputer untuk diaplikasikan ke dalam kaedah pengajaran mereka.
Pengajaran bahasa berbantukan komputer wajar dijadikan suatu kaedah pengajaran kerana kaedah ini dilihat mampu menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih menarik, aktif, kreatif, menarik, afektif seterusnya akan mencapai objektif yang disasarkan.
Rujukan:
Ambigapathi, P.. dan Suthagar, N. (2003). “Literasi Teknologi Komputer: Persepsi
Dan Penggunaan di Kalangan Guru.” Selangor:Universiti Putra Malaysia.
Ismail Zain. (2002). Aplikasi Multimedia Dalam Pengajaran. Kuala Lumpur:Utusan
Publication & Distributors Sdn.Bhd.
Norizan Abd Razak (1998). CALL:Some Pedagogical Issues. Siri Penerbitan Fakulti
Pengajian Bahasa, UKM, Bangi.
Omar Zakaria, Shaifol Bahary Sulaiman & Hassan Ahmad. (2006).HBEF Teknologi
Maklumat dalam Pendidikan. Kuala Lumpur:Open University Malaysia.
Siti Hajar Abdul Aziz. (2009). Bahasa Melayu II Siri Pendidikan Guru. Selangor :
Oxford Fajar Sdn Bhd.
Sejauhmanakah Keberkesanan Penggunaan Teknologi Maklumat dalam Pendidikan
Sukatan Pelajaran BMM 3105 Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu
Berbantukan Komputer 2012
No comments:
Post a Comment